Social Icons

Pages

Sunday 11 August 2013

Penyakit Genetik - Talesemia

Assalamualaikum dan salam lebaran buat sahabat2 semua,

Disini hanya ingin berkongsi satu info kesihatan berkaitan penyakit talesemia. Baru-baru ini mendapat berita yg agak sedih dari saudara terdekat, berikutan kehilangan anakanda yg baru dilahirkan dipercayai akibat penyakit genetik ini.

Oleh itu, mungkin info ini sedikit sebanyak dapat membantu dan memberi penjelasan punca penyakit tersebut, rawatan susulan bagi yg menghidapi dan langkah pencegahan penyakit talasemia tersebut.



Oleh : Aina Suraya Selamat
Mahasiswi UKM Bangi

Penyakit Talesemia

Talasemia merupakan penyakit genetik sel darah merah. Pesakit Talasemia tidak dapat menghasilkan sel darah merah yang berkualiti dalam kuantiti yang mencukupi. Ini kerana gen yang mengawal penghasilan hemoglobin telah terjejas. Hemoglobin adalah satu protein di dalam sel darah merah yang berfungsi untuk membawa oksigen ke seluruh tisu-tisu di dalam badan kita.

Bagaimana Talasemia merebak?  Talasemia adalah penyakit genetik atau keturunan di mana anak mendapat gen Talasemia daripada ibu bapa. Ianya bukan penyakit berjangkit iaitu tidak boleh ditransmisi melalui darah, udara, air atau pun sentuhan fizikal. Lelaki dan perempuan mempunyai peluang yang sama untuk mendapat penyakit ini. Satu daripada 20 penduduk Malaysia adalah pembawa gen Talasemia.

Jenis-jenis Talesemia

Terdapat 2 jenis Talasemia yang utama iaitu Talasemia minor (pembawa gen Talasemia) dan Talasemia Major (Pesakit Talasemia). Pembawa gen Talasemia tidak menunjukkan sebarang masalah kesihatan tetapi seorang pembawa gen Talasemia boleh menurunkan gen Talasemia kepada anak-anaknnya. Manakala pesakit Talasemia major akan menunjukkan tanda-tanda sejak  dari umur 3-18 bulan.Antara gejala tersebut adalah seperti badan sentiasa lemah dan resah, kesukaran bernafas, perut buncit disebabkan pembengkakan hati dan limpa, tumbesaran terbantut dan terdapat perubahan pembentukan pada muka apabila anak semakin membesar.

Rawatan Talesemia

Rawatan bagi pesakit Talasemia ini dikenali sebagai rawatan transfusi darah  sebanyak 1 hingga 2 kali sebulan  dalam seumur hidup pesakit Talasemia. Rawatan ini akan mengambalikan paras hemoglobin ke tahap yang lebih baik dan tisu-tisu di dalam badan akan mendapat bekalan oksigen yang mencukupi.  Namun, proses rawatan transfusi darah yang berpanjangan ini akan menyebabkan pengumpulan zat besi yang berlebihan di dalam organ-organ penting didalam badan seperti jantung, hati dan kelenjar endokrin yang akan terjejas fungsinya. Justeru itu, rawatan penyingkiran zat besi amat penting bagi pesakit Talasemia major. Ia boleh diberikan secara suntikan. Pilihan lain adalah pembedahan membuang limpa bergantung kepada situasi tertentu.

Langkah-langkah pencegahan penyakit Talesemia

Walaubagaimanapun, terdapat langkah pencegahan untuk mengelakkan Talasemia dan perlu dilakukan oleh pasangan yang hendak mendirikan rumah tangga sebagai langkah keselamatan.

Langkah yang pertama adalah menjalani penyaringan darah bagi mereka yang mempunyai sejarah keluarga menghidap Talasemia.

Langkah kedua, sekiranya anda mempunyai ciri Talasemia dan ingin berkahwin, anda perlu bersikap terbuka dan berbincang mengenainya dengan pasangan anda. Bakal pasangan anda perlu menjalani ujian darah untuk mengetahui sama ada dia juga mempunyai ciri Talasemia atau tidak.

Langkah ketiga, jika kedua-dua pasangan membawa ciri Talasemia, mereka perlu mendapatkan nasihat dan keterangan lanjut mengenainya dengan penghadiri kaunseling genetik . Ini perlu kerana sekiranya kedua-dua pembawa gen Talasemia berkahwin, kemungkinan besar anak yang dilahirkan merupakan pesakit Talasemia major yang boleh membawa maut.  Sekiranya kedua-dua ibu dan bapa adalah pembawa gen Talasemia, 25% kemungkinan anak mereka adalah pembawa Talasemia, 50% kemungkinan anak mereka adalah pembawa dan 50% kemungkinan anak mereka normal.

Kempen dan info lain

Kesedaran orang ramai tentang Talasemia? Terdapat pelbagai kempen yang dijalankan untuk memberikan informasi mengenai Talasemia kepada orang ramai. Namun, masih terdapat ramai lagi termasuklah pelajar institusi pengajian tinggi yang kurang pengetahuan tentang Talasemia.  Dalam usaha memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai Talasemia ini, corak penyampaiannya perlulah lebih kreatif dalam member informasi tentang Talasemia dan sekaligus menerangkan tentang langhkah-langkah yang perlu  diambil untuk mengatasinya serta seterusnya dapat mencapai matlamat kempen.

Dalam konteks ini, media elektronik seperti televisyen dan radio dilihat lebih sesuai sebagai medium penyampaian kerana lebih dekat dengan masyarakat. Selain itu, kempen-kempen mengenai Talasemia ini juga perlu diadakan dengan kerap di sekolah-sekolah serta IPT seluruh Malaysia kerana rata-ratanya merupakan pelajar yang belum lagi menginjak ke isntitusi perkahwinan dan masih sempat untuk mengelakkan lahirnya anak yang menghidap Talasemia major.

Untuk menjayakan kempen ini, pelbagai pihak termasuklah badan kerajaan atau pun NGO perlu memainkan peranan penting dalam menjayakan kempen. Di samping kempen-kempen untuk mencegah Talasemia, bantuan kepada pesakit Talasemia juga perlu dihulurkan. Pesakit Talasemia memerlukan rawatan transfusi darah selama 1 hingga 2 bulan seumur hidup dan rawatan ini memerlukan kos yang tinggi. Satu daripada 20 rakyat negara ini merupakan pembawa Talasemia dan daftar Kementerian Kesihatan menunjukkan kira-kira 4,385 pesakit Talasemia sedang menjalani rawatan bulanan. Daripada angka ini, untuk mengharapkan Persatuan Talasemia sahaja unutk menghulurkan bantuan kewangan, agak sukar kerana sumber dana adalah terhad. Sehubungan dengan itu, bantuan kewangan daripada pelbagai pihak samada NGO, badan kerajaan atau pun persendirian sangat digalakkan.

Di samping bantuan kewangan, sokongan moral adalah yang paling diperlukan oleh pesakit Talasemia. Setiap manusia mempunyai talian persaudaraan sesama kita dan dengan sokongan moral yang diberikan, mereka akan berasa lebih bersemangat untuk meneruskan kehidupan. Berdasarkan penerangan-penerangan di atas, semua pihak perlu prihatin dalam mencegah Talasemia ini. Talasemia major merupakan penyakit yang serius dan jika tidak dirawat, boleh menyebabkan kematian kepada kanak-kanak yang berumur antara satu hingga lapan tahun.

Sanggupkah kita melihat generasi yang bakal menerajui negara ini semakin berkurangan disebabkan oleh kelalaian kita sendiri yang mangambil mudah dalam ujian penyaringan darah? Oleh yang demikian, diharapkan kempen-kempen yang dijalankan dapat menyedarkan mesyarakat tentang risiko Talasemia dan pesakit-pesakit yang menghidap Talasemia dapat dibantu dengan sewajarnya agar dapat meneruskan kehidupan . Cegah sebelum parah.

No comments:

Post a Comment