Sumber: Astro Awani
Biarpun Lin
Dan menyekat impian Datuk Lee Chong Wei untuk merangkul kejuaraan dunia 2013
semalam, namun jaguh badminton negara itu masih belum terbuka hati untuk
bersara.
Sebaliknya,
Chong Wei melupakan hasrat bersara yang pernah diluahkan sebelum Sukan Olimpik
London 2012 untuk mengejar misi merangkul emas pertama negara sukan Olimpik
pada edisi 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.
"Impian
saya ialah meraih kejuaraan pada Sukan Olimpik 2016. Saya akan cuba yang
terbaik nanti," katanya sejurus tiba dari Guangzhou, China, di Lapangan
Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 6.30 petang hari ini.
Pemain
nombor satu dunia itu, yang mencecah usia 31 tahun pada 21 Okt ini, gagal dalam
misi meraih gelaran sulung pada Kejohanan Dunia di Guangzhou semalam selepas
kalah kepada musuh tradisinya dari China itu.
Chong Wei
terpaksa menarik diri pada set penentuan ketika 17-20 selepas mengalami
kekejangan otot di kaki dan perut. Sebelum itu, Chong Wei memenangi set pertama
21-16 dan kalah 13-21 paad set berikutnya.
Chong Wei
berkata beliau berharap keadaan fizikalnya akan kembali cergas secepat mungkin
untuk meneruskan latihan bagi menghadapi Kejohanan Dunia 2014 di Denmark.
Beliau, yang
kecewa dengan kekalahan itu, menyifatkan cabaran pada kejohanan dunia di
Guangzhou adalah paling sengit.
Permainan
Chong Wei dikatakan tidak menjadi apabila pendingin hawa di Gimnasium Tianhe di
Guangzhou tiba-tiba ditutup dan keadaan panas serta tidak berangin itu merubah
sepenuhnya perjalanan perlawanan.
Chong Wei
meminta rawatan pada kedudukan 16-19 di set ketiga dan cuba menyambung
permainan, namun beliau tidak mampu bergerak pada kedudukan 17-20 untuk
menghadiahkan kejuaraan dunia yang kelima buat Lin Dan.
"Saya
tidak boleh buat apa-apa. Mungkin kelebihan kepada Lin Dan... Apa pun saya kena
belajar dari kesilapan saya sendiri.
"Doktor
beritahu saya kekurangan air dalam badan dan banyak berpeluh menyebabkan saya
mengalami kekejangan otot," katanya.
Ketika
mengulas tentang prestasi pencabarnya, Chong Wei berkata corak permainan Lin
Dan tidak banyak berubah, serta beranggapan bermain di gelanggang sendiri
memberi kelebihan kepada lawannya itu.
"Walaupun
Lin Dan kurang beraksi dalam beberapa kejohanan penting pada tahun ini,
prestasi beliau masih sama dan tidak banyak berubah.
"Mungkin
bermain di gelanggang sendiri dengan penyokong memberikan beliau lebih
bersemangat untuk menjadi juara," katanya.
Sementara
itu, isterinya Datin Wong Mew Choo berkata beliau tetap akan menyokong karier
Chong Wei dan yakin impian suaminya untuk meraih kejuaraan pada kejohanan dunia
akan datang akan menjadi kenyataan.
"Chong
Wei sudah cuba yang terbaik, menang kalah merupakan adat pertandingan. Saya
tetap berbangga walaupun menghadapi tentangan sengit dari Lin Dan, beliau tetap
lawan," katanya Mew Choo yang juga merupakan bekas pemain perseorangan
wanita negara.
No comments:
Post a Comment