Social Icons

Pages

Friday 7 March 2014

Rasulullah insan istimewa - keajaiban zaman kanak-kanak dan remaja Baginda

Assalamualaikum..

Fuhh..fuh..kasi tiup sikit..rasanya dah lama tak update dan blog ini, nampak macam sudah berhabuk cikit.

Alhamdulilah masih diberi kesempatan untuk menulis dan terima kasih tidak terhingga juga kepada sahabat2 yg masih sudi singgah diruangan tidak seberapa ini.

Baiklah, seperti entri saya sebelum ini iaitu berkenaan keajaiban semasa kelahiran Rasulullah s.a.w, kali ini kita cuba menghayati kehebatan dan sirah Rasulullah s.a.w semasa zaman kanak-kanak dan remaja beliau.
Mungkin ini tidak seberapa lengkap berbanding naskhah-naskhah khusus berkaitan kehidupan Rasulullah diluar sana, namun kita cuba berkongsi melalui penceritaan, pembacaan dan video ceramah sirah yg pernah dibaca, dilihat dan didengari.

Yg pertama berkenaan ibu susuan Rasulullah iaitu Halimatus Saadiah. Sudah menjadi tradisi kaum Bani Sa'ad  ketika zaman itu, akan bergerak ke kota Mekah untuk mencari bayi yang baru dilahirkan untuk menjadi anak susuan dan menjadi sumber rezeki sampingan mereka. Dalam rombongan ke kota Mekah itu, Halimatus Saadiah dan suaminya tertinggal di belakang kerana unta mereka yg sudah tua dan lemah, ini menyebabkan bayi-bayi dari kalangan anak orang kaya dan berada sudah diambil oleh orang lain yang sampai dahulu. Dan ketika Halimatus Saadiah sampai, hanya tinggal Rasulullah yang masih belum diambil, kerana faktor Rasulullah anak yatim dan ibunya Aminah bukan dari kalangan orang berada.

Akhirnya Halimatus Saadiah dan suaminya bersetuju mengambil Rasulullah sebagai anak susuan dan bermulalah kisah yg hebat dalam kehidupan mereka. Ketika perjalanan pulang, unta Halimatus Saadiah dan suaminya yang lemah itu menjadi kuat dan gagah, dan berjalan laju sehingga mampu memotong kumpulan rombongan yang sudah pulang lebih awal.

Sepanjang mereka menjaga Rasulullah, segala tanaman dan ternakan keluarga mereka menjadi, dan rezeki mereka sekeluarga mencurah-curah. Itulah antara kelebihan yang ada pada Rasulullah. Selama 4 tahun mereka menjaga Rasulullah dengan kehidupan yg penuh barakah, akhirnya diserahkan kembali kepada ibu baginda iaitu Aminah.

Ketika berumur 4 tahun, baginda telah didatangi oleh Malaikat Jibril dan ketika itulah dada baginda dibelah dan hati baginda telah dicuci dengan air zamzam, sesudah itu dieletakkan kembali dan kemudian dada baginda dijahit semula.

Dari Anas bin Malik r.a. katanya:
"Jibril a.s. mendatangi Rasulullah s.a.w ketika baginda sedang bermain-main dengan beberapa orang kanak-kanak (di zaman kanak-kanak). Tiba-tiba Jibril memegang dan membaringkan beliau, lalu membelah dan mengeluarkan jantung beliau, kemudian dibuang segumpal darah dari jantung itu seraya berkata:

"Ini menguntungkan syaitan dari dirimu"

Kemudian dibersihkan dalam sebuah bejana emas dengan air zamzam. Sesudah itu diletakkannya ditempatnya dan dijahitkan kembali. Anak-anak yang menyaksikan itu segera lari kepada ibu susu beliau dan mengkhabarkan bahawa Muhammad dibunuh orang. Mereka segera mencarinya, dan didapati Muhammad dalam keadaan pucat.

Kata Anas," aku melihat bekas jahitan itu di dada Rasulullah s.a.w "

Antara kehebatan lain Rasulullah ialah baginda sentiasa dilindungi dan dididik oleh Allah s.w.t. Ketika zaman remaja baginda tidak menyertai rakan sebayanya di kota Meka untuk bersukaria. Namun ada suatu ketika ada perayaaan di kota Mekah dan terdetik di hati baginda untuk pergi melihatnya. Namun atas kekuasaan Allah, baginda tertidur ketika ingin pergi ke sana dan hanya tersedar apabila panas matahari telah terik.

Antara kelebihan baginda lagi ialah tidak pernah terlibat dalam penyembahan berhala ketika zaman jahiliah, tidak pernah memakan daging sembelihan untuk berhala, tidak meminum arak dan juga berjudi. Baginda juga terkenal dengan sifatnya yang jujur dan amanah sehingga diberi gelaran 'Al-Amin' oleh penduduk Mekah ketika itu. Keperibadian yang tinggi dan akhlak mulia baginda sudah terserlah semenjak baginda masih kanak-kanak, meningkat remaja sehingga menginjak ke dewasa.

Bailah, itulah antara beberapa kisah yg berlaku ketika Rasulullah s.a.w kanak-kanak ke remaja. Jika ingin diceritakan rasanya sangat banyak lagi boleh dikongsikan, namun ruangan ini hanya perkongsian ringkas dan sekadar ingin menarik minat kita untuk mengenali junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w dengan lebih mendalam.

Jadikanlah buku berkenaan sirah Rasulullah antara koleksi buku yang ada pada rak buku kita dan selalu ditelaah untuk menambah ilmu dan pengetahuan. Baiklah rasanya itu sahaja perkongsian buat masa ini, insyaallah ada masa dan kesempatan, kita bertemu lagi dalam entri seterusnya.

Dan terima kasih sekali lagi sudi membaca dan mengunjungi ruangan yg tidak seberapa ini.

Wassalam..

No comments:

Post a Comment